Perkataan
tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis (hadis
yang ke-36 dalam hadis 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah r.a.,
dari Nabi s.a.w. bersabda : “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah,
mereka membaca Al-Quran dan bertadarus (berdiskusi mengenai isi kandungannya) di
kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan
daripada Allah, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat
dan Allah akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”
Menurut
hadis di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala
isi kandungan Al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan
ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam,
ilmu kaji hayat, cakerawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai,
ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala,
ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan
sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Apa yang
penting, Ramadhan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus
(berdiskusi dan mengkaji) isi-isi kandungan Al-Quran termasuklah memperelok
sebutan huruf-huruf Al-Quran dengan mendalami hukum-hukum ilmu tajwid,
supaya Ramadhan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding
tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka
membaca, mengkaji serta beramal dengan Al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu
kita menjadi umat cemerlang di dunia dan akhirat, Amin.